RSS

Sistem Carian

Monday, October 25, 2010

Ah! Bayang-Bayang Itu Mengekoriku Lagi!

Ah! Tidak penatkah kau wahai si bayang-bayang???
Kenapakah kau asyik mengekoriku sepanjang masa?
Apakah yang kau mahukan daripadaku?
Aku tidak punya apa-apa...

Lantas apakah yang kau tagih daripadaku?
Simpati?
Kasih sayang?
atau Perhatian?

Maaf Bayang-bayang...
Aku tidak mampu menjaga 'hati-mu'
Kerana lebih ramai lagi mereka yang sedang menagih perhatian daripadaku...
Ibuku, adik-adik, keluarga, teman malah seisi saudara seagamaku...

Aku punya banyak bebanan, tanggungjawab...
Tidak mampu kutanggung seorang diri..
Jadi, jangan kau susahkan aku lagi!

Jangan kau ekoriku lagi.
Berhentilah! Sembunyikan dirimu di balik tirai atau langsir itu, atau juga di sebalik dinding putih itu..
atau boleh juga kau terus meresap masuk ke dalam dinding putih itu! Lenyap dan terus hilang dari sisiku!
Alangkah!

Namun, aku faham!
Kau juga tak mampu bersendiri.
Sepertimana aku...
Kau tak mampu berdikari tanpa aku...
Kau tak mampu 'hidup' tanpa pertolongan kuasa alam.

Aku mengerti kepayahan kau yang bergantung kepada diriku...
Aku faham kesusahan kau yang tidak mampu bergerak sendiri.

Tidak mengapa TEMAN....
Sekurang-kurangnya kau TEMAN yang SETIA
Kerana kau tidak pernah menggangguku..
malah, kau tidak pernah menyakitiku...
Dan, kau sentiasa berada di sisiku ke mana jua aku pergi.

Terima Kasih BAYANG-BAYANG kerana menjadi TEMAN YANG PALING SETIA!!!

Saturday, October 23, 2010

Ekslusif : Siri 'Membedah' Penulisan Kreatif!

Saya ringkaskan sesi...


Penulisan merupakan sesuatu yang memberi kebebasan kepada sesiapa sahaja. Kita bebas mengekspresikan imaginasi, kekreatifan, olahan cerita kita dengan cara yang tersendiri. Di mana Penulisan Kreatif membolehkan kita meluahkan perasaan, membebaskan imaginasi dan buah fikir atau apa sahaja di dalam bentuk-bentuk kata yang digarap sendiri!
Kita bebas meneroka setiap apa yang ada
di dalam minda kerana kita sememangnya KREATIF!


Namun, perlu diingat! Penulisan Kreatif juga ada syaratnya...yang menyusul di bawah: (Khas untuk penulisan cerpen & Novel)

  • Mempunyai Tema/Isu yang hendak dibincangkan
  1. Untuk memberikan Tema kepada sesebuah karya Kreatif, perlu disimpulkan daripada keseluruhan cerita dan tidaklah daripada bahagian-bahagian tertentu sahaja.
  2. Tema selalunya 'tersembunyi' daripada cerita tetapi ia boleh 'dicari' jika difahami dengan betul-betul jalan ceritanya.
  3. Tema dapat berperanan untuk 'mengangkat masalah kehidupan'. Contoh : kerinduan, kemiskinan, keketakutan, nafsu, mimpi dan sebagainya.
  • Gambaran Latar
  1. Menggambarkan di mana & bila cerita itu berlaku
  2. Menjadikan kejelasan kepada jalan cerita
  3. membuatkan watak seakan-akan 'hidup' dan pembaca dapat merasa 'realiti' cerita tersebut malah turut sama mengajak pembaca 'berlakon'.
  4. Ada juga latar jenis Metafora yang perlu difahami makna secara bukan harfiah(dalaman) . Contoh cerpen : Seribu Kunang-kunang di Manhattan.
  • Penceritaan Watak: Antagonis, Protagonis, utama, sampingan.
  1. Merupakan tokoh dalam cerita iaitu pelaku cerita.
  2. menceritakan tokoh-tokoh melalui gambaran sikap, keinginan, emosi, rupa, dan lain-lain.
  3. Tokoh utama : Tokoh yang paling banyak diceritakan. Hero/heroin dalam cerita.
  4. Tokoh tambahan : Tokoh yang ada di sekeliling tokoh utama. Yang menghidupkan jalan-jalan cerita.
  5. Tokoh Protagonis : Tokoh yang dikagumi.  Digambarkan memiliki watak yang baik. selalunya berkonflik dengan watak antagonis. Merupakan harapan pembaca.
  6. Tokoh Antagonis : Tokoh penjahat. merupakan watak yang selalunya menimbulkan konflik dalam cerita. 
  • Urutan cerita/Plot
  1. Plot Kronologis : dibina mengikut urutan masa iaitu permulaan, klimaks & penyelesaian.
  2. Plot Bukan Kronologis : Cerita dimulai dengan pengakhiran dan kepada permulaan. Tidak teratur.
  • Pengolahan Sudut Pandangan : pertama, kedua, @ campuran.
  1. Sudut Pandang Pertama : Menggunakan kata 'aku' atau 'nama watak'. Menggambarkan penulis ikut terlibat dalam cerita @ tokoh/watak yang bercerita.
  2. Sudut Pandangan ketiga : Guna perkataan 'dia', 'ia'. Penulis berada di luar jalan cerita. Penulis menceritakan hati dan tindakan watak-wataknya.
  3. Campuran : Guna 'aku' dan 'dia' Menggambarkan sesuatu cerita itu sungguh-sungguh ada dan benar-benar terjadi. Digunakan untuk menyebarluaskan cerita dan membentuk kesedaran.

Untuk memenuhi kelima-lima syarat di atas, bukanlah susah, kerana kita sedia maklum bahawa kita seorang yang KREATIF dan pastinya kita mampu menggarap kesemua syarat-syarat itu menggunakan kekreatifan kita tersendiri dan kita BEBAS


Jadi, sekarang...Keluarlah daripada 'kotak' itu dan bebaskanlah IMAGINASI-mu..!

Tidak dinafikan 'menulis' bukanlah sesuatu yang mudah, namun jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan tiada paksaan, yakinlah...Yang Susah pasti jadi Mudah!

SAMA-SAMA KITA MENEROKA ILMU IMAGINASI untuk MEMBENTUK DUNIA KREATIF!


Untuk lebih informasi, layarilah http://azmahnordin.blogspot.com/...TERIMA KASIH!

Friday, October 22, 2010

Kenangan Semalam

semalam mencuit kenangan
membawa kerinduan 
menggamit seribu kemanisan

hari ini
kau menghilang
mewujud duka
mencalit luka

tidak esok
juga lusa
kembali kau
tak mungkin lagi

kuulit tidurku
moga mimpi kali ini
melempias kerinduan
mengubat segala luka 

biar semalam menjadi kenangan
hari ini mogalah tenang
  besok terus menjadi angan-angan

Menjengah Makna "Kun Fa Ya Kuun"

[81] Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Dia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dialah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui.
[82] Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: Jadilah engkau!. Maka ia terus menjadi. [83] Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.


Maha Suci Tuhan. Lihatlah pada erti bacaan 'Kun Fa Ya Kuun' itu. 
'JADILAH ENGKAU. MAKA, IA TERUS MENJADI'.

Kalimat itu amat bermakna dalam kehidupan kita sebagai Hamba Allah.

"Dalam hidup ini...Kita seringkali diuji dengan pelbagai musibah. Jika musibah itu datang, kita akan bersedih, menyalahkan diri sendiri, menyalahkan orang lain malah menyalahkan Tuhan kita! 
Sebaliknya, apabila kita menerima nasib baik/keberuntungan, kita akan cepat lupa diri dan tenggelam dalam gaya dan nikmat hidup yang berlebihan."

Gambaran tersebut menunjukkan tentang hakikat kehidupan dan lumrah manusia itu sendiri yang kurang memahami rahsia dan hikmah takdir. 

Sebenarnya, kalimah tersebut tersembunyi maksud yang sangat mendalam  mengenai hakikat hidup ini yang hanya menunggu untuk 'dikorek' maknanya.

Apa yang pasti, Ajal, Maut, Bahagia, Sengsara, Rezeki, malah Jodoh seseorang sudah ditentukan sejak di dalam kandungan ibu lagi. Manusia hanya perlu menerima setiap hakikat yang terjadi. 

Apa sahaja dugaan yang berlaku dalam hidup adalah menurut kepada kehendak Allah. 
  • Dia boleh memiskinkan orang kaya
  • Dia boleh menyembuhkan seorang pesakit Barah tahap kritikal
  • Dia boleh memisahkan suami dan isteri yang bahagia
  • Dia boleh membentuk persahabatan buat mereka yang bermusuh
  • Dia boleh menggagalkan orang yang berjaya
  • Dia boleh meluputkan ingatan mereka yang sedang bergelut menjawab 'exam'.
  • Dia boleh mengubah manusia jahil menjadi muslimin yang menuju Barakah
  • Dia boleh menjadikan si fakir kepada seorang jutawan
  • Dia boleh menjadikan si bodoh menjadi bijak
  • Dia boleh menyesatkan orang yang  sedia pakar
  • Dia boleh mengubah yang mustahil menjadi mungkin
Semuanya boleh terjadi andai DIA MENGKEHENDAKINYA...Namun, kita sebagai manusia hanya perlu yakin bahawa setiap yang terjadi adalah KETENTUANNYA dan bertujuan untuk MENGUJI...jadi BERSABARLAH dan tempuhi setiap yang berlaku dengan penuh TABAH Semoga Dia mengkehendaki yang TERBAIK buat kita.

Subhanallah...Maha Suci Tuhan Yang Berkuasa!

Andai Bayang-Bayang Mampu Berbicara


Setiap benda konkrit (yang boleh dilihat) pasti ada bayang-bayang yang tersendiri
Apatah lagi, kita manusia yang hidup dan boleh bergerak. Bayang-bayang merupakan teman sejati kita!
Teman serapat mana pun tak mungkin dapat membuntuti langkahan kaki kita ke semua tempat sekalipun. Tapi, bayang-bayang YA! Bayang-bayang akan sentiasa mengekori kita ke mana sahaja kita pergi seperti juga 'tapak kaki' kita yang kita tinggalkan merata-rata. 

Bayang-bayang sangat setia! Bayang-bayang tak akan pernah tinggalkan kita kecuali ada sesuatu yang menghalangnya daripada memunculkan dirinya...

Maklumat yang diambil daripada http://id.wikipedia.org/wiki/Bayang-bayang : 
  • Bayang-bayang terbentuk apabila cahaya terhalang sesuatu.
  • Bayangan akan menjadi tidak ketara jika pencahayaan lemah. contoh: matahari pada hari berawan
  • Di tempat teduh tidak ada bayang-bayang kerana tempat teduh sudah merupakan bayangan sebuah benda yang menghalangi matahari.
  • Bayang-bayang lebih jelas kelihatan pada waktu malam apabila cahaya mendekati sesuatu benda.
  • Bayangan akan menjadi besar apabila suatu benda bergerak mendekati cahaya.    
  • Apabila benda menjauhi cahaya, bayang-bayang benda itupun menjadi kecil kerana benda tersebut hanya menjadi penghalang yang semakin kecil
Tambahan : Bayang-bayang akan hilang bila tiada cahaya (malam) dan bayang-bayang akan mengecil apabila cahaya memenuhi ruang.

Menarik! Belum pernah terfikir tentang 'teman baik' ini. Tetapi, tiba-tiba terdetik tentang sesuatu...

Pernahkah kita terbayang kalau bayang-bayang boleh bercakap? Atau kalaulah bayang-bayang juga ada mata, telinga, hidung. Maksud lain, kalaulah bayang-bayang itu hidup? Macamanae ye???
Persoalan itu membuahkan idea tentang penulisan cerpen eksperimental dalam 'kotak bahasa'ku.
Kalaulah bayang-bayang hidup, boleh berbicara seperti tuannya (benda/orang yang membentuk bayang-bayang), sudah tentu ada kebaikan dan kelemahannya.

Ku cuba menggarap idea ini dalam cerpenku.
'Bayang-bayang Saksi' : Andai kata bayang-bayang mampu berbicara, sudah tentu dia mampu menceritakan tentang segala apa yang dilihat. Bukankah dia (bayang-bayang) merupakan 'teman yang setia'?


Seorang kanak-kanak yang diculik seorang diri, hanya bertemankan bayang-bayang...tercambah idea untuk mewujudkan perasaan dalam diri bayang-bayang kanak-kanak tersebut.
Setiap masa menjadi saksi perbuatan durjana manusia yang menyeksa si kanak-kanak kecil, namun, tidak mampu berkata apa-apa kerana dirinya hanyalah Bayang-bayang! Dan...dialah satu-satunya saksi utama yang ada!

Yang hidup dan kadang-kadang mati (wujud dan lenyap). Hanya bergantung pada si tuan untuk meneruskan 'hidup'. Namun, bila tuan sudah mati, akan mati jugakah dia? Tidak, sebenarnya dia akan terus 'hidup' setiap kali cahaya datang walaupun memang dia tidak langsung memainkan peranan!



Tetapi, bayangkanlah, kalau bayang-bayang mampu berbicara!!!

Wednesday, October 20, 2010

KuPohon Kemaafan


lagi sekali
sekali lagi
lagi lagi

silap ku teratur lagi
lagi ku salah
mengurus masa
mencatur hidup

menempias amarah
merobek sabar
mengundang kecewa
mewujud amarah

kusedar silap
kutahu salah
kupohon kemaafan
kurayu keampunan

semoga berkat
ilmumu dicurah
semoga berkat
usahaku mencurah


21 Okt 2010
Perpustakaan Tun  Seri Lanang
UKM 

Ditintakan KHAS Buat : DR. MAWAR SHAFEI yang Dihormati
(P/S : Semoga Dr. memberi kemaafan atas kekhilafan diri ini dan 
semoga ilmu yang kami terima mendapat keberkatan) 
Terima Kasih


Saturday, October 16, 2010

Cerita Satu Malam

bulan malam malu-malu
bintang malam kerlip tak tentu
kuak jendela luas terlalu
di bilik itu aku beradu

dari dinding
jam berdenting
memekak telinga
membuka mata
buat kesekian kalinya

dingin    malam    sayu     keseorangan
rindu     teman     hati       kekosongan

akhirnya
   dari mata
      luruh ke pipi
         temu di bibir
             turun ke dagu

malam sunyi angin bertandang
deru hujan titis perlahan
dari badan
    hingga ke tulang
sampai gigil
seluruh badan

akhirnya
jendela itu
tertutup jua
mengakhiri malam
penuh duka

(Kolej Keris Mas, UKM)
17 Oktober 2010

Sunday, October 10, 2010

Alkisah Kuih Puteri Mandi



Penuh warna-warni!!!
Terus selera makanku semakin menguak-nguak.
Fuh, menyelerakan dengan warna yang bermacam-macam. Ada merah, hijau, kuning dan putih!

Erm...Kuih ni alkisahnya berasal di negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan.
Rasanya memang manis dan amat sesuai dijadikan sebagai pencuci mulut.
Kanak-kanak memang penggemar no. 1! Apatah ia senang dimakan dan dikunyah ditambah rasanya yang manis dan lemak.

Aku terpanggil untuk menyelidiki rahsia si 'Puteri Mandi' ini. Bermacam-macam dalam fikiran aku keluar pasal asal-usul nama puteri mandi ni. Pelik kan?

Dalam sebuah laman web, aku curi-curi membaca kisah yang mungkin direka pasal Puteri Mandi ni. Ia bermula begini....Seorang pemuda telah jatuh cinta pada seorang puteri yang sungguh indah paras rupanya. Mereka bahagia, namun setelah beberapa bulan mereka bercinta, puteri tersebut telah menjauhkan diri daripada si pemuda. Si pemuda merasa sedih. Lalu untuk menghilangkan rasa rindunya pada si puteri, beliau telah pergi mengintai puteri yang sedang bermandi- manda dalam sungai bersama dengan teman-teman puterinya.  Semua puteri-puteri itu sungguh cantik jelita paras rupawan mereka. Mereka mandi tanpa menghiraukan si pemuda yang sedang mengintai. Si pemuda pula tersenyum penuh kemanisan!

Heh! Macam-macam...Tapi walau apa pun kisah di sebalik kejadian kuih Puteri Mandi ini, memang tidak dinafikan kuih ini memang enak dimakan.

Kuih Puteri mandi....
Lihat sahaja bentuknya...bulat yang tidak bulat...digelumang dengan kuah yang pekat dan warna-warna yang menggoda mata.

Jika diperhatikan betul-betul, kuih ini dapat menggambarkan kiasan tentang kehidupan yang tenang berdasarkan warna-warnanya, kehidupan yang penuh dengan cerita.
Kemanisan dan kenikmatan hidup yang dapat dirasai oleh mereka yang mencintai kehidupan.
Kuah yang pekat dan lemak memberi rasa puas. Meneliti puteri mandi seperti memerhati si gadis yang punya kelembutan dan hati budi yang mulia. Suci dan bersih! Taburan hampas kelapa yang menyerikan lagi sebuah perhubungan antara manusia. Bak kata, hidup yang penuh lengkap!

Cubalah menikmati kuih puteri mandi dengan penuh selera, pasti temui jawapan nikmat dan manisnya sebuah kehidupan!!! Maka, sesuailah kuih Puteri Mandi menjadi santapan penyedap selera dan pencuci mulut yang pastinya akan diingati sampai bila-bila.

Biarlah Tokohku Bercerita


MR. BEAN a.k.a ENCIK KACANG...
Tentu anda semua kenal dengan tokoh ini..
Seorang tokoh yang boleh dikatakan berjaya membuat aksi-aksi yang boleh menggulingkan orang (sambil ketawa terbahak-terbahak) atau yang hampir pengsan (ketawa tak henti-henti)!!!
Saya terpanggil untuk meminati seorang tokoh yang berkaliber dalam mencipta pelbagai humor dan lakonan yang lucu dan boleh pecah perut orang ramai. Siapa lagi yang mampu melakukan kejayaan sedemikian???

Mr. Bean atau nama sebenarnya Rowan Atkinson lahir pada 6 Januari 1995 di Consett, County Durham. Beliau dilahirkan dalam keluarga petani dan direktor perusahaan. Bapanya ialah Eric Atkinson dan ibunya ialah Ella May. Melihatkan gelagatnya di kaca TV yang popular dengan rancangan Mr. Bean, tidak langsung terlintas di fikiran saya untuk mengintai pula kehidupannya di luar kaca TV ataupun kehidupan sebenarnya.

Beliau merupakan seorang manusia yang cukup lengkap pancaindera, juga akal yang baik (sama seperti kita). apa yang dipancarkan di kaca TV tidak sama sekali menggambarkan kehidupan sebenar beliau. Mr. Bean, seorang yang konyol dan bodoh-bodoh begitu berlainan sekali dengan watak Rowan Atkinson yang serius, bijak dan punya kekayaan yang melimpah ruah. Keluarganya juga bahagia dan punya isteri serta putera dan puteri yang cantik! Malah beliau pernah bersekolah bersama mantan menteri, Tony Blair. Sedikit trivia tentang beliau:

  • Rowan pernah menjadi alih suara Disney Zazu dalam filem The Lion King pada 1994
  • Rowan pernah menulis artikel untuk CAR (a British car magazine).
  • Isteri Rowan adalah bekerjaya sebagai make-up artis
  • Rowan yang memenuhi syarat untuk memandu kenderaan jenis berat  (lesen HGV-Heavy Good Vehicle)
  • Memiliki harta hampir 60 juta pound
  • Meminati kereta Aston Martin dan tidak berminat untuk memiliki Porsche
sumber : http://www.pawaka19.com/
Berikut gambar tentang kehidupan Mr. Bean yang sebenar!!!


Mr. Bean dengan isteri

Anak perempuan Mr. Bean

Anak lelaki Mr. Bean


Mahligai mewah Mr. Bean


Di sini, bukan Rowan Atkinson yang ingin saya selidiki, tetapi Mr. Bean!
Pernahkah terlintas di hati anda bagaimana Mr. Bean mampu menjayakan wataknya itu?
Sebenarnya, cerita Mr. Bean yang tertulis di dalam skrip-skrip yang seterusnya dipaparkan pada kaca TV memang penuh dengan warna-warni kehidupan.
Walaupun ia sarat dengan humor, namun terselindung pengajaran yang cukup bermakna!

Mr. Bean yang mengisahkan tentang kehidupan seorang lelaki yang jatuh (entah dari mana) ke muka bumi. Beliau digambarkan sebagai watak yang dungu, tidak tahu arah tuju, bodoh, lurus bendul tetapi jika anda perhatikan betul-betuk setiap tindakan Mr. Bean penuh dengan kebijaksanaan! Kalau tidak, masakan dia mampu menjalani kehidupan sehari-hari tanpa pertolongan sesiapa pun! Malah, turut diselitkan kisah bahawa Mr. Bean yang tolol juga punya kekasih hati!

Nah! Di sini, secara kesimpulannya...setiap paparan yang diceritakan dalam mana-mana kisah, filem, novel, mahupun cerpen jika digarap dengan betul mampu menonjolkan pelbagai rahsia tentang kehidupan. Di sebalik watak, tersembunyi sebuah kehidupan yang penuh warna-warni!!! Yang menunggu masa untuk diselidiki dan 'dibedah' oleh pencinta 'Ceritera'...

Puitis Perkenalan

Pena disusun, kata direka,
Bicara nan indah, pembawa ceria,
Salam perkenalan tulus dari jiwa,
Semoga terus dipatri, usaha bersama.

Bersama-sama kita meneroka bicara-bicara dunia!

Sketsa Pemula

"Laman putih menjadi pentas,
Tarian pena diatur indah,
Kini bermula sketsa ringkas,
Sebagai santapan penghilang gundah"

...Kelas yang agak funky dan bersahaja, sungguh rileks...

Beberapa orang pelajar tengah berbisik sesama sendiri. Aku pun tidak mengerti butir bicara mereka.
Kukerling wajah Dr.Mawar, pensyarah Penulisan Kreatifku sedalam-dalamnya...tanpa ada maksud yang tersirat, aku tersenyum sendiri...Dr.Mawar, salam perkenalan.

Selesai sesi perkenalan yang agak ringkas beliau denganku, agenda pengajaran bermula...banyak ilmu yang kuperolehi dalam episod pembelajaran kali ini. Sekali lagi aku tersenyum puas hati.

"Oh ya, pasal penulisan blog saudara semua, macamana?"

Buat seketika aku tergamam. Blog?

Sementara seisi kelas hingar meluahkan butir bicara mereka, aku terfikir sendiri mengenai kesilapan yang tidak disengajakan (ponteng kelas atas sebab yang tidak dapat dielakkan). Kan dah terkena!!! Tak pasal-pasal jadi blur.

"Saya nak saudara semua bagi alamat blog kepada saya hari ini sebelum pukul 5."

Dalam nada yang bersahaja tanpa unsur penegasan, ia padat dengan makna.
Satu arahan-yang perlu aku patuhi-

Maka..terciptalah blog ini, di saat ini, pada tatkala ini...yang aku kira merupakan suatu 'kerja rumah' yang sangat fun dan rileks. Sementelah aku juga sudah terbiasa mencoretkan kata-kata pada halaman putih ini sebelum mengikuti kursus ini lagi.

----Salam Perkenalan Laman Penaku---
---Semoga terus sukses dan Maju---